SELANGOR

Sultan Selangor bimbang gejala dadah babitkan golongan belia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan berkenaan isu gejala dadah terutama dalam kalangan golongan belia.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Selangor, Zamani Ahmad Mansor berkata, penyalahgunaan itu membabitkan membawa masuk bahan itu dengan pelbagai modus operandi penyeludupan yang baharu sehingga sukar dibendung.

Katanya, baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor mendapati bilangan kes jenayah pengedaran dadah membabitkan golongan berkenaan yang dibawa kepada lembaga itu amat tinggi.

“Baginda berasa gusar dan berdukacita dengan perkembangan kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi yang negatif kepada golongan muda dalam negeri Selangor.

“Gejala pengedaran dadah menjadi semakin serius dan kritikal serta mengundang kesengsaraan kepada deretan mangsa najis dadah beserta keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Kenyataan rasmi yang dikeluarkan susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Selangor kali ke-78 tahun ini.

Zamani Ahmad, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam laporannya menyebut hasil daripada ujian air kencing yang dijalankan, didapati seramai 1,829 daripada 370,285 pelajar dari 178 sekolah disahkan positif dadah.

Beliau berkata permasalahan dadah ini perlu dibanteras secara tegas dan tanpa kompromi kerana kesan negatifnya yang bukan sahaja mengancam kesihatan serta keselamatan awam.

Katanya, ia berpotensi meningkatkan berlakunya kejadian jenayah lain yang akhirnya akan menghancurkan ketenteraman awam dan perpaduan masyarakat yang sedang dinikmati dalam Selangor.

“DYMM Sultan Selangor mengeluarkan peringatan yang keras supaya sekalian rakyat hendaklah lebih berwaspada dan menghindarkan diri daripada aktiviti penyeludupan, pengedaran, penyalahgunaan dan seumpamanya yang melibatkan najis dadah.

“Ini kerana kesannya amat buruk bukan sahaja kepada individu belia terbabit tetapi juga kepada keluarga serta masyarakat sekelilingnya.

“Adalah menjadi hasrat dan harapan DYMM Sultan Selangor agar rakyat dalam negeri ini dapat hidup aman dan tenteram serta bebas daripada pembabitan dan ancaman gejala dadah,” katanya.


Pengarang :