BERITA UTAMASELANGOR

DYTM Raja Muda berkenan sampaikan sumbangan Hari Raya daerah Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 26 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya sebanyak RM84,200 kepada 742 anak yatim bagi daerah Klang.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh baginda di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek, di sini.

Sumbangan sebanyak RM74,200 diperuntukkan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), manakala Northport (Malaysia) Berhad pula menyumbang RM10,000 untuk disalurkan kepada anak yatim di daerah Klang.

Hadir mengiringi baginda, Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah.

Turut mengiringi baginda, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport (Malaysia) Berhad, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, YIDE menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Northport kerana meluluskan peruntukan itu.

“YIDE berharap agar pihaknya akan terus membantu anak-anak yatim ini untuk tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata daerah Klang merupakan daerah kedua disalurkan sumbangan selepas Kuala Selangor, manakala Hulu Langat dan Hulu Selangor juga akan diberikan.

Terdahulu, YIDE memperuntukkan sebanyak RM849,200 untuk disalurkan kepada 8,492 anak yatim di seluruh Selangor yang berdaftar dengan YIDE.

Manakala, RM23,200 untuk dua buah rumah anak yatim di bawah seliaan YIDE turut diagihkan.

=EZY=


Pengarang :