Suasana bazar Ramadan
NASIONAL

Exco: Bawa beg sendiri ke bazar Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 MEI: Pengunjung bazar Ramadan dinasihatkan membawa beg sendiri ketika membeli juadah berbuka, demikian nasihat Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Katanya, ia kerana pihaknya tidak menggalakkan peniaga menggunakan plastik berikutan ia menjadi punca utama kepada meningkatnya jumlah sampah setiap kali menjelangnya Ramadan.

“Saya juga akan turun ke beberapa lokasi bazar Ramadan untuk menjalankan kempen kurangkan penggunaan plastik kepada peniaga bazar, kami mahu menasihatkan mereka supaya menggunakan bahan mudah urai.

“Sebaiknya pembeli bawa beg atau bekal sendiri, sikap sebegini boleh dipupuk bermula dari diri sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Loy Sian tidak dinafikan kini sudah ada pembeli dan peniaga yang semakin sedar dengan menggunakan bahan mudah urai.

“Ia bukan alasan kepada Kerajaan Negeri untuk lepas tangan, kita akan sentiasa pantau perkara ini memandangkan ia adalah masa depan Selangor bagi mewujudkan sistem pengurusan sampah terbaik.

“Jadi kami memerlukan kerjasama daripada semua peringkat termasuk peniaga di bazar Ramadan kali ini,” katanya.

Mengikut statistik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), pada 2017, jumlah kutipan sisa pepejal di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Ramadan meningkat dari 25 hingga 30 peratus

Ia termasuk Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


Pengarang :