SELANGOR

Fitnah isu tanah, MBI bakal dakwa Chegubard

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ekoran dakwaannya berhubung skandal penyelewengan tanah, di Petaling Jaya.

MBI berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia itu, di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, kira-kira jam 7.30 petang tadi.

Pemerbadanan itu turut menafikan pegawai tertinggi mereka terbabit dengan beberapa pertemuan bersama syarikat Gamuda GM Klang Sdn Bhd yang kononnya diadakan di Armada Hotel, sekitar Jun 2015.

MBI juga menafikan tanah terbabit berada di bawah seliaan mereka kerana ia dipindah milik kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebelum diserah urus kepada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

MBI hanya dilantik oleh KHSB untuk menjadi koordinator bagi menjalankan proses permohonan mendapat tawaran (Request for Proposal-RFP) melaksanakan cadangan pembangunan secara usahasama di atas tanah itu.

MBI juga memaklumkan syarikat berkenaan tidak memenuhi kriteria ditetapkan bagi penyertaan proses RFP terbabit seperti dimaklumkan dalam surat pemberitahuan yang dihantar MBI.

Pada masa sama, MBI turut mahu Chegubard disiasat di bawah Akta Berita Palsu 2018 dan apa-apa peruntukan perundangan lain yang berkaitan kerana tindakannya secara jelas memberi kenyataan palsu berkenaan pegawai pengurusan tertinggi MBI secara individu juga organisasi.

Tindakan Chegubard juga secara langsung mencemarkan nama baik dan reputasi MBI.

Terdahulu, Chegubard menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berhubung dakwaan penyelewengan tanah institusi agama Islam di Petaling Jaya bernilai RM1 bilion.

Dakwanya berlaku penyelewengan apabila sebuah syarikat ingin membeli tanah terbabit dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak 30 peratus dari nilai RM1 bilion.

Bagaimanapun, dua pemimpin KEADILAN dan seorang wakil tertinggi MBI bertemu dengan syarikat itu untuk menyatakan persetujuan Kerajaan Negeri tetapi meminta kertas cadangan dihantar semula dengan merendahkan nilai tawaran dan membayar secara ‘under table’.

Chegubard turut mendakwa pada 22 Disember 2017, syarikat lain membuat pengumuman mengatakan mereka mendapat hak untuk memajukan tanah itu.


Pengarang :