EKONOMISELANGOR

Fokus tarik pelaburan dalam negara, pengusaha IKS diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 17 MEI: Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim akan memfokuskan penarikan pelaburan dalam negara dengan lebih khusus penggal ini.

Katanya, pihaknya turut merancang membawa dan membantu pengusaha IKS untuk mara ke pasaran luar negara.

Sehubungan itu, pihaknya akan mewujudkan unit khas bagi mencapai tujuan itu sekali gus, menarik pelabur dalam negara ke Selangor.

“Kita akan merancang strategi baru bagi menambah baik pelaburan ini.

“Pengusaha IKS berjaya dalam arena antrabangsa akan memberi lebih peluang kepada Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, dengan adanya unit baru itu nanti, agensi penggalak pelaburan negeri, Invest Selangor pula akan lebih memfokuskan kepada pelaburan asing.

Sebelum ini, Chang Khim turut memegang portfolio pengangkutan, selain pelaburan, perdagangan dan industri IKS.

Menyifatkan pengguguran portfolio pengangkutan itu, beliau berkata ia lebih baik kerana pihaknya akan dapat menumpukan sepenuhnya kepada pelaburan khususnya bagi menjana ekonomi yang rancak.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyasar pelaburan keseluruhan RM12 bilion pada tahun ini, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM7 bilion dijangka datang daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik, manakala RM5 bilion pula daripada sektor perkhidmatan.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekaligus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629 diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755.


Pengarang :