Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

Food For Mahasiswa bantu agih juadah berbuka puasa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program Food For Mahasiswa (FFM) sepanjang bulan Ramadan dalam usaha meringankan beban golongan itu.

Penggerak FFM, Muhammad Affendy Hasni berkata, program itu dijalankan sejak April 2015 dengan memberi makan malam percuma kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Kita utamakan kepada dua golongna pelajar iaitu datang daripada keluarga susah dan engalami masalah kewangan, ketika akhir semester.

“Usaha ini kita teruskan pada bulan Ramadan yang dianggap sebagai satu tradisi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanpun, Affendy berkata, bantuan makanan percuma itu hanya terhad kepada 200 bungkusan sehari kerana bergantung kepada nilai sumbangan diberikan orang ramai.

“Jika ada rezeki, lebih kita mampu edar sehingga 300 bungkusan, namun perkara itu jarang berlaku kerana dana melalui sumbangan.

“Bagaimanapun, tahun ini kami di FFM tetap bertekad untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan makan malam setiap hari sehingga kertas peperiksaan semester tamat.

“Bagi menjayakan hasrat itu, sumbangan daripada orang ramai amat dialu-alukan tidak kira dalam bentuk wang tunai, makanan, minuman, kuih-muih, kurma, atau buah-buahan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu menyumbang dalam bentuk kewangan boleh menyalurkan terus ke akaun Persatuan Mahasiswa Prihatin 564481410901 (Maybank).

Difahamkan, secara kasar, FFM memerlukan kira-kira RM1000 sehari bagi menampung makan malam berjumlah RM4 untuk 250 pelajar.


Pengarang :