SELANGOR

Galas tanggungjawab penuh amanah demi rakyat-MB

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berterima kasih dan menghargai kepercayaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang melantiknya kembali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dipimpinnya akan membalas kepercayaan itu dengan menggalas tanggungjawab penuh amanah demi kemajuan Selangor dan rakyat.

“Saya menjunjung kasih Sultan Selangor yang memperkenankan pelantikan saya sebagai Dato’ Menteri Besar bagi penggal baharu ini.

“Saya berikrar untuk menunaikan tugas dan amanah ini dengan penuh bertanggunjawab bagi terus membangunkan Selangor serta memakmurkan rakyat,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan di hadapan Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, prestasi Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor, amat memberangsangkan dengan berjaya menguasai 51 daripada 56 kerusi dengan majoriti besar berbanding PRU sebelumnya.

Katanya, ia membuktikan rakyat Selangor berpuas hati dengan dasar dijalankan selama ini.

“Kita berjaya menggubal dasar yang dapat memenuhi aspirasi rakyat.

“Saya bersama pasukan akan terus menjamin perpaduan dan keharmonian semua kaum kerana yakin kepelbagaian ini adalah satu aset untuk memakmur serta memajukan Selangor,” katanya.


Pengarang :