SUKANKINI

Gianlugi Buffon ucap selamat tinggal kepada Juventus

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 MEI: Penjaga gol Itali, Gianlugi Buffon mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus selepas berkhidmat hampir 17 tahun dengan kemenangan bergaya 2-1 ke atas Hellas Verona dalam perlawanan terakhir Serie A musim 2017/18 semalam.

Berusia 40 tahun, Buffon akhirnya mengumumkan akan meninggalkan Bianconeri selepas melakar pelbagai kejayaan bersama kelab berpengkalan di Turin, Itali itu.

Selaku ketua pasukan, beliau beraksi selama 63 minit dalam perlawanan terakhir sebelum digantikan oleh Carlo Pinsoglio dengan dua jaringan Juventus dihasilkan Daniele Rugani (min-49) dan Miralem Pjanic (min-52) sementara gol tunggal Verona menerusi Alessio Cerci (min-76).

Buffon turut diberikan penghormatan untuk menjulang Piala Serie A yang dimenangi Juventus buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2011.

Melakukan 509 penampilan, beliau yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Itali itu telah memenangi pelbagai kejuaraan kecuali Piala Liga Juara-Juara Eropah bersama Juventus sejak berpindah dari kelab Parma pada 2001 dengan rekod perpindahan tertinggi bagi seorang penjaga gol bernilai 52 Juta Euro.

Buffon turut setia bersama Juventus ketika zaman kejatuhan kelab apabila terpaksa beraksi dalam Serie B selepas pasukannya terlibat dalam skandal mengatur perlawanan pada 2006.

 

Mula memegang lilitan ketua pasukan selepas persaraan Alessandro Del Piero pada 2012, Buffon telah memenangi sembilan kejuaraan Serie A, empat piala Coppa Italia dan lima Supercoppa Italiana.

Dengan 176 penampilan bersama skuad Itali dengan penampilan pertama pada 1997, beliau berjaya menjulang Piala Dunia pada 2006 di Jerman selepas menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.

 

Kredit Foto: Facebook Juventus & Google


Pengarang :