SELANGOR

GST sudah tiada, peniaga kena jual murah – Ustaz Abdullah Khairi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 25 MEI: Pendakwah terkenal, Dr Abdullah Khairi Harun menasihatkan peniaga bazar Ramadan menjual makanan pada harga murah disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah tiada.

Katanya, peniaga tidak perlu memikirkan keuntungan semata-mata dalam perniagaan sebaliknya keberkatan menjadi tunjang utama.

“Memang kita mahu untung, tapi bayangkan jika anda menjual makanan atau minuman pada harga berpatutan, kemudiannya sedap dan berkualiti, sudah pasti orang suka dan pelanggan akan bertambah.

“Keuntungan juga bukan sekadar duit semata-mata, sebaliknya keberkatan yang kita bawa pulang untuk anak-anak dan isteri,” katanya ketika sesi tazkirah perasmian Pasar Ramadan Mampan @Kipmall Kota Warisan Majlis Perbandaran Sepang 2018.

Abdullah berkata, pelanggan di bazar Ramadan juga boleh memainkan peranan penting bagi membolehkan peniaga menghasilkan makanan berkualiti.

“Jika kita rasa menu yang dijual tidak berkualiti atau harga terlampau mahal, anda tegurlah atau nasihat peniaga itu secara berhemah, peniaga yang bijak akan gunakan nasihat berkenaan kerana mereka tahu itulah sumber pendapatan mereka.

“Ingatan terakhir saya buat peniaga bazar Ramadan ialah jangan sesekali meninggalkan solat, sesibuk mana kita sekalipun, solat terlebih dahulu, ingat, jika kita jaga Allah, Allah akan menjaga kita semula,” katanya.


Pengarang :