PENDIDIKANSELANGOR

Guru JAIS disaran tonjolkan diri, hadapi revolusi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Semua pimpinan guru di sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disarankan supaya sentiasa menonjolkan diri dalam masyarakat dan di tempat bertugas.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, hubungan baik dan akrab perlu dibina dan diperkukuh melalui rantaian manusia yang menjadi penghubung antara sekolah dan masyarakat.

Katanya, Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) juga menjadi salah satu komponen masyarakat yang harus diurus dengan baik oleh Eksekutif Officio (Penasihat) iaitu pengetua dan guru besar.

“Saya penuh yakin hubungan baik dibina antara sekolah dan PIBG ini merupakan salah satu faktor kewujudan warga sekolah cemerlang.

“Bahagian Pendidikan Islam JAIS juga menyarankan agar semua peringkat sekolah dan daerah dapat melakukan aktiviti sesuai.

“Ia termasuk mengadakan program ziarah kepada mantan guru, ziarah guru yang sakit, program bersama masjid dan surau atau apa sahaja program yang boleh memberi makna penghargaan kepada golongan guru, murid dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Guru JAIS peringkat negeri di Hotel De Palma, di sini.

Mohd Haris berkata saranan itu merupakan salah satu bentuk transformasi dan revolusi terkandung dalam tema hari guru, ‘Guru Pemacu Transformasi Negara’.

“Ini kerana kita perlu melakukan perubahan terhadap sifat, tingkahlaku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu lebih baik dan sempurna.

“Pada masa sama murid-murid dan masyarakat dapat menyedari wujudnya golongan manusia bergelar guru ini yang jasa mereka tidak pernah dilupakan.

“Diharap semua guru JAIS dalam semua kategori yang berjumlah hampir 10,000 orang buat masa ini akan menjadi ‘pemacu’ kepada Pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Bahagian Pendidikan Islam JAIS yang berjaya mewujudkan Buku Garis Panduan Pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru tahun 2018.

=EZY=


Pengarang :