SELANGOR

Haniza fokus hidupkan semula kawasan mati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha komited membangunkan semula kawasan perumahan mati atau ditinggalkan sebelum proses urbanisasi yang semakin agresif berlaku.

Beliau berkata, ia termasuk tumpuan kepada penyelesaian masalah sosial yang wujud ekoran proses pembangunan, di Selangor.

“Ini menjadi fokus utama saya sebaik memegang portfolio itu secara rasmi. Saya melihat terlalu banyak kawasan perumahan atau pembangunan perlu dihidupkan atau dibangunkan semula, di negeri ini.

“Bagaimanapun, ia memerlukan kajian mendalam kerana ada kawasan di bandar yang ditinggalkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi Ahli Mesyuarakat Kerajaan Negeri (MMKN), di SUK, di sini.

Haniza berkata, di bawah aspek kehidupan bandar pula, beliau mahu meneliti punca sebenar yang membawa kepada masalah sosial kerana tidak mahu Selangor maju ke depan tetapi membawa masalah bersama.

“Saya melihat banyak kawasan pemindahan setinggan yang dibuka orang luar bandar yang berhijrah ke bandar dan kemudian apabila bandar membangun, mereka dipindahkan ke rumah pangsa.

“Selepas mereka berpindah, timbul pula banyak masalah sosial di rumah bertingkat ini dan antaranya boleh kita lihat di kawasan Desa Mentari dan Taman Medan, Petaling Jaya.

“Amat penting untuk saya selesaikan masalah ini sebelum proses urbanisasi Selangor. Kita akan tangani perkara ini dulu supaya pada akhirnya, Selangor bukan saja membangun tapi rakyatnya juga mendapat kehidupan berkualiti,” katanya.

Haniza adalah graduan jurusan seni bina daripada University of Sheffield, United Kingdom.

Terdahulu, beliau merupakan Ahli Dewan Negeri Taman Medan sejak 2008 sebelum memenangi kerusi DUN Lembah Jaya, pada Pilihan Raya Umum ke-14, baru-baru ini.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada 2008, sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan itu.


Pengarang :