SELANGOR

Haniza mahu terus laksana pembangunan, bela rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 10 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya yang baharu, Haniza Talha, akan berusaha melakukan yang terbaik demi membela nasib masyarakat di kawasan berkenaan.

Kejayaan itu, katanya, membuktikan rakyat menaruh kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor yang melaksanakan pelbagai program bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Walaupun saya baharu di Lembah Jaya tetapi memahami rakyat di DUN ini benar-benar mahukan perubahan.

“Saya akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk Lembah Jaya,” katanya selepas diumumkan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan itu, malam tadi.

Seperti mana di DUN Taman Medan, Timbalan Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, beliau akan berusaha memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan di sini dilaksanakan secara berterusan.

“Terima kasih kepada pengundi dan semua pihak yang menyokong,” katanya.

Haniza mendapat 22,512 undi dengan majoriti 14,790 mengatasi tiga calon lain iaitu penyandang, Khasim Abdul Aziz (PAS) (7,358), Mohd Nizam Shith (BN) (7,722) dan Norizwan Mohamed (PRM) (177).

=EZY=


Pengarang :