NASIONAL

Hapuskan akta zalim langgar demokrasi kebebasan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sekiranya mendapat mandat mentadbir Putrajaya selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, komitmen itu dizahirkan kerana berpandangan akta itu digunakan Barisan Nasional (BN) bagi menghalang kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

“PAKATAN menentang sebarang bentuk “berita palsu” kerana kami sentiasa menjadi mangsa fitnah dan tohmahan terutama sekali daripada jentera propaganda BN.

“Kami berpandangan akta ini terlalu luas dan akan disalahguna rejim pemerintah untuk membungkam kebebasan bersuara dan kritikan ditujukan kepada penguasa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menjadi negara pertama di dunia menjatuhkan hukuman terhadap individu di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang hanya digubal selepas lapan jam perbahasan di Parlimen, 11 April lalu.

“PAKATAN juga akan menghapuskan semua undang-undang zalim bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya seandainya mengambilalih pentadbiran negara daripada BN.

Semalam, seorang lelaki warga Denmark menjadi individu pertama didakwa di bawah akta itu ekoran menerbitkan berita tidak benar berkaitan kelewatan polis sampai ke lokasi pembunuhan pensyarah warga Palestin di Setapak, baru-baru ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM10,000 ke atasnya.

=EZY=


Pengarang :