SELANGOR

Hormat keputusan istana dan pimpinan tertinggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 MEI : Desas-desus mengatakan bahawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Ashari dan ADN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin bakal menggantikan jawatan Dato’Menteri Besar Selangor mendapat perhatian beberapa pihak.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, apa sahaja keputusan yang diputuskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu dihormati semua pihak.

“Saya percaya kedua-dua calon ini antara yang terbaik dan mampu meneruskan agenda yang diilhamkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Yang penting, kita perlu terima apa sahaja keputusan pimpinan tertinggi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Manakala, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, beliau tiada masalah siapa juga yang dilantik sebagai pengganti Mohamed Azmin.

“Yang penting, apabila sudah memegang jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar, maka perlu menggunakan konsep kerjasama, dalam satu pasukan.

“Apabila kuat kerjasama dalam satu pasukan, maka itu bermakna Selangor akan menjadi bertambah hebat,” katanya.

Exco Kesihatan , Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, kedua-dua calon berkenaan layak memegang jawatan itu.

“Saya tidak layak untuk memilih mana bagus mana tidak, apa sahaja keputusan istana, maka kita terima sahaja seadanya.

“Asalkan apabila sudah memegang jawatan berkenaan, beliau seharusnya melaksanakan tanggungjawab itu dengan berwibawa,” katanya.


Pengarang :