NASIONAL

Hujan lebat saksi Azmin dedah kejayaan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU KURAU, 4 MEI: Faktor hujan lebat tidak menghalang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri kepada masyarakat luar Selangor, pada Ceramah Perdana KEADILAN di Tapak Pasar Malam Tanjung Piandang, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, realiti kejayaan negeri perlu dikongsi kepada umum sebagai jaminan berterusan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mengurus negeri membangun itu.

“Ada orang kata PAKATAN tidak mampu tadbir Selangor, apatah lagi Putrajaya. Tetapi kenyataan ini hanya mitos belaka.

“Selangor yang ditadbir PAKATAN terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjadi negeri paling maju, di Malaysia.

“Selain itu, kita melaksanakan pelbagai agenda berkebajikan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang memberi manfaat kepada warga Selangor,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penduduk Tanjung Piandang.

Mohamed Azmin mendedahkan, kejayaan Inisiatif Peduli Rakyat sewajarnya menjadi contoh terbaik bahawa keyakinan kepada PAKATAN untuk mengurus tadbir Putrajaya adalah relevan.

“Di Selangor kita ada Bas Smart Selangor yang menawarkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat. Di Perak ada? Kalau ada pun cuma bas yang pintunya mungkin sudah rosak atau dalam keadaan fasiliti kurang memuaskan.

“Di negeri kami juga ada skim kesihatan terbaik. Tapi kalau di negeri pentadbiran Barisan Nasional, mereka cuma ada panadol Klinik 1Malaysia sahaja,” sindirnya.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengadakan program turun padang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan Alor Pongsu, yang menyaksikan calon PAKATAN bertanding di kawasan DUN Perak itu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.


Pengarang :