BERITA UTAMASELANGOR

IDE: PAKATAN mampu menang besar di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu menang besar di Selangor, demikian menurut kajian terbaru yang dikeluarkan Institut Darul Ehsan (IDE).

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sokongan orang ramai terhadap PAKATAN melonjak naik dari 49 peratus kepada 56 peratus selepas penamaan calon, pada 28 April lalu.

Katanya, sokongan besar kepada PAKATAN dipengaruhi beberapa faktor termasuk sokongan tinggi terhadap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini mencapai tahap sokongan 65 peratus oleh rakyat Selangor.

“Pada waktu sama berlaku ketidakmampuan Barisan Nasional (BN) menamakan calon Menteri Besar yang berwibawa sekali gus membolehkan PAKATAN terus kekal memerintah Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Antara faktor kemenangan lain PAKATAN juga dipengaruhi oleh jumlah keluar mengundi dan kesan persempadanan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan kepada SelangorKini.

Mohammad Redzuan berkata, PAKATAN juga mampu menang semua baki kerusi disebabkan kerja kuat bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Katanya, sokongan rakyat Selangor terhadap program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri juga memainkan peranan peningkatan keyakinan pengundi terhadap PAKATAN.

“Populariti PAKATAN juga dilihat naik berdasarkan sokongan pelbagai kaum, khususnya Melayu daripada 35 peratus kepada 43 peratus.

“Sementara sokongan kaum Cina terhadap PAKATAN di Selangor melepasi 80 peratus dan peningkatan juga berlaku kepada sokongan pengundi India yang meningkat melebihi 60 peratus,” katanya.

Kajian ini berdasarkan Survei IDE 2018 Mood Rakyat Menjelang PRU 14 yang dijalankan sejak Januari 2018 hingga April 2018.

Lebih 6,800 responden di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terlibat menyertai kajian berkenaan.


Pengarang :