AGAMASELANGOR

Ijab kabul 15 pasangan serentak dalam Pernikahan Perdana

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Seramai 15 pasangan mempelai daripada beberapa daerah di Selangor dinikahkan dalam satu Majlis Pernikahan Perdana, di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Kuala Selangor, baru-baru ini.

Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Abd Malek Ramli berkata, semua pasangan dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun itu dinikahkan oleh 15 jurunikah secara serentak.

“Pernikahan Perdana ini bagi memudahkan umat Islam yang mahu mendirikan rumah tangga dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1,000 sahaja.

“Dengan nilai ini, kita menyediakan pakej majlis makan beradab, pelamin, hadiah perkahwinan, bunga telur, sijil nikah fast track, photo booth dan mereka berpeluang menaiki tram mengelilingi pekan Kuala Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Abd Malek berkata, pihaknya menganjurkan majlis itu supaya masyarakat melihat Islam itu memudah dengan melakukan perkara wajib tanpa membebankan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan proram itu pada masa akan datang melihat sambutan yang diterima menggalakkan.

Difahamkan, majlis dimulakan dengan pernikahan secara serentak beramai-ramai di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Kuala Selangor disusuli perarakan pasangan pengantin menaiki tram MDKS dari masjid ke majlis resepsi, di Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Mohd Yaacob Dato’ Ismail; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Marpuaton Sastero.


Pengarang :