BERITA UTAMA SELANGOR

Ikut cara MB urus kewangan berhemah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MEI: Pengurusan kewangan berhemah dengan mengekalkan perbelanjaan pentadbiran dan meningkatkan peruntukan pembangunan menjadi asas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, di Selangor.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, langkah dipraktikkan Dato’ Menteri Besar itu berupaya meningkatkan ekonomi negeri dan menjadi rujukan banyak pihak.

Malah katanya, ia seharusnya menjadi rujukan utama kepada semua belanjawan Persekutuan dengan memberi keutamaan untuk pembangunan.

“Sebagai contoh, Dato’ Menteri Besar mengumumkan perbelanjaan pembangunan membabitkan 53.2 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan dan ia penting untuk menjana pendapatan negeri.

“Manakala pembentangan Bajet 2018 dilakukan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan 83.59 peratus daripada jumlah keseluruhan diperuntukkan bagi kos operasi sahaja dan 6.2 peratus dalam keseluruhan bajet hanya untuk Jabatan Perdana Menteri diketuainya.

“Keadaan itu menimbulkan keresahan banyak pihak dan persoalan berhubung keperluan menggunakan wang melebihi jabatan penting lain,” katanya.

Justeru, katanya, langkah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan beberapa agensi dan institusi tepat pada masanya dalam usaha membaik pulih ekonomi negara.

Sebagai contoh, katanya, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menerima peruntukan RM30 juta dengan sumbangannya tidak mampu dijejaki secara mata kasar.

“Ramai tidak percaya Pengarah Utama JASA menerima gaji lebih RM20,000, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia menerima lebih kurang RM14,000.

“Sumbangan JASA kepada pembangunan negara dan ekonomi tidak mampu dijejaki dengan mata kasar dan ia digunakan sebagai perkakas propaganda buat Barisan Nasional serta yang menjadi kesalahan kerana gaji mereka dibayar menggunakan hasil pembayar cukai,” katanya.


Pengarang :