SUKANKINI

Imran, Lauren ‘sertai’ B-19 kebangsaan, bersiap ke F4F

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 MEI: Dua peserta negara ke Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa ‘Football For Friendship’ (F4F) 2018 di Moscow, Rusia, Imran Zakaria dan Lauren Hoh, berpeluang menyertai latihan skuad B-19 kebangsaan sebagai persiapan ke program berkenaan.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), peluang diperoleh diatur persatuan itu di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi, bagi membolehkan Imran dan Lauren merasai pengalaman dan membuat persediaan.

“Ia sebahagian daripada program persiapan diatur FAM bagi membolehkan Imran dan Lauren merasai sendiri pengalaman menyaksikan sesi latihan skuad B-19 kebangsaan selain mendapat tunjuk ajar serta tips berguna daripada jurulatih, Bojan Hodak, sebelum mereka terbang ke Moscow, 8 Jun ini,” katanya.

Di Moscow, Rusia nanti, Imran, 16, akan berperanan sebagai ‘jurulatih muda’ bagi melatih salah satu daripada 32 pasukan campuran dibentuk di kalangan pemain berusia 12 tahun.

Lauren, 12, pula akan menjadi ‘wartawan muda’ untuk membuat liputan sepanjang program berkenaan.

Mereka berdua akan bersama peserta dari 211 negara lain dalam program F4F sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Moscow, Rusia, mulai 8 hingga 15 Jun ini.


Pengarang :