SELANGOR

Infrastruktur Telok Gong bakal bertambah baik

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 6 MEI : Beberapa infrastruktur di Telok Gong yang sebelum ini mengalami kekurangan dan kerosakan akan pulih dengan kadar segera sekiranya rakyat komited memberikan sokongan memilih kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, antara permasalahan yang akan diselesaikan berkenaan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan di Telok Gong.

Katanya, Kerajaan Negeri merancang untuk menyelesaikan trafik keluar masuk di Glenmarie Cove ke Jalan Ikan Tenggiri dengan melebarkan dua lorong kepada empat lorong.

“Hal ini bagi memudahkan orang ramai daripada terus bersesak setiap kali melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu Azmizam berkata, tekanan air rendah yang sering berlaku di kawasan Telok Gong turut akan diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri telah membantu kita dengan menukar paip lama kepada paip baru dan kerja ini akan tetap diteruskan sehingga selesai dengan kadar segera sekiranya PAKATAN masih mentadbir negeri ini,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau akan meningkatkan program kemasyarakatan di kawasan Pandamaran Jaya dengan kerjasama bersama jawatankuasa perumahan dan pihak masjid serta surau.

“Saya sudah meneliti masalah di Pandamaran Jaya, didapati padang di taman ini mengalami masalah air bertakung sehingga tiga ke empat hari dan hanya surut disebabkan cahaya matahari.

“Oleh itu, permasalahan ini akan saya bawa ke Kerajaan Negeri untuk diselesaikan secepat yang mungkin sekali gus membolehkan mereka yang bermain bola dapat main dengan lebih selesa,” katanya.

=EZY=


Pengarang :