SELANGOR

IPR untuk semua, rentasi batas perkauman

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan secara komited pentadbiran Kerajaan Selangor menjadi aspirasi terbaik kepada rakyat di negeri itu untuk mengekalkan pentadbiran sedia ada.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) N17, Gombak Setia Hilman Idham berkata, keberkesanan skim turut dinikmati semua lapisan umur dan kaum di negeri berkebajikan itu.

“Tiada gunanya sekiranya negeri yang kaya, tetapi rakyat di luar terus miskin dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Ini yang harus kita bela dan sebab itulah IPR yang dilaksanakan Kerajaan Selangor terus menyantuni semua lapisan kaum dan agama.

Hilman Idham

“Rakyat Selangor sejak daripada lahir hinggalah di peringkat usia emas turut menikmati IPR dan kejayaan ini perlu dikekalkan agar kebajikan rakyat terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Makan Tengah Hari bersama masyarakat India di Seri Gombak, baru-baru ini.

Terdahulu, IPR merupakan dasar berkebajikan yang diperkenalkan Kerajaan Selangor di bawah penjenamaan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Pembangunan dasar berkenaan dimulakan di bawah tujuh teras utama dan meningkat dari semasa ke semasa melalaui fasa demi fasa.

Objektif pelaksanaan dasar berkenaan dibuat bagi memastikan hasil kekayaan negeri dikongsikan kepada rakyat menerusi program pembangunan kebajikan rakyat Selangor.

Visi IPR adalah mengutamakan kebajikan rakyat di samping kualiti hidup rakyat dipertingkatkan ke arah mengekalkan status negeri maju menjelang 2025.

=EZY=


Pengarang :