GLOBAL

Israel bunuh 37 rakyat Palestin, 500 penunjuk perasaan cedera

SEMPADAN GAZA 15 MEI: Askar Israel membunuh sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin di sepanjang sempadan Gaza semalam, kata pegawai-pegawai perubatan selepas penunjuk perasaan membanjiri perbatasan pada hari Amerika Syarikat (AS) membuka kedutaannya di Baitulmuqaddis.

Tunjuk perasaan meningkat semalam pada ulang tahun ke-70 penubuhan Israel. Pembesar suara di masjid-masjid menggesa warga Palestin supaya menyertai protes besar-besaran itu yang dikenali sebagai ‘Perarakan Kepulangan Besar-Besaran’.

“Hari ini (semalam) ialah hari besar tersebut. Kami akan menyeberangi pagar sempadan dan memberitahu Israel serta dunia bahawa kami tidak akan menerima untuk dijajah selama-lamanya

“Ramai akan mati syahid hari ini, sungguh ramai tetapi dunia akan mendengar mesej kami. Penjajahan Israel perlu berakhir,” kata seorang guru sains di Gaza yang hanya dikenali sebagai Ali.

Pegawai-pegawai kesihatan berkata, tentera Israel membunuh 37 warga Palestin semalam termasuk seorang kanak-kanak berumur 14 tahun dan seorang lelaki berkerusi roda, manakala kira-kira 500 penunjuk perasaan cedera termasuk sekurang-kurangnya 200 orang yang terkena peluru hidup.

Kematian terbaharu itu menjadikan angka korban warga Pa­lestin meningkat kepada kira-kira 82 orang sejak protes besar-besaran di sempadan Gaza-Israel itu bermula pada 30 Mac lalu. Tiada kematian dilaporkan di pihak Rejim Zionis.

Angka kematian itu mengundang kritikan antarabangsa tetapi AS yang mencetuskan kemarahan dunia Arab kerana tindakan memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis, turut menye­belahi Rejim Zionis dengan me­nuduh pergerakan Hamas yang mentadbir Gaza menghasut ke­ganasan tersebut.

Berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin berkumpul di lima buah lokasi sepanjang sempadan Gaza-Israel, manakala sekurang-kurangnya 500 orang termasuk dua wartawan tempatan cedera terkena tembakan tentera Zionis, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Tunjuk perasaan dijangka meningkat hari ini, hari rakyat Palestin meratapi ‘Nakba’ atau Bencana Besar apabila lebih 700,000 daripada mereka diusir keluar dari kediaman masing-masing.

Sementara itu, lewat hari yang sama, barisan pemimpin Israel dan satu delegasi AS termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin bersama Ivanka Trump yang merupakan anak perempuan Presiden Donald Trump dan menantunya, Jared Kushner menghadiri majlis pembukaan Kedutaan Israel di Baitulmuqaddis.

REUTERS


Pengarang :