BERITA UTAMASELANGOR

Jadi PM, tapi bas pun tak boleh baiki – MB

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Rakyat Selangor beruntung kerana menerima pelbagai manfaat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan rasa puas hati dengan kejayaan Selangor menyantuni rakyat secara adil dan telus.

Katanya, beliau tidak peduli dengan cacian daripada mana-mana pihak asalkan Selangor maju, makmur serta rakyat menerima pelbagai manfaat.

“Contohnya manfaat bas percuma Smart Selangor, kita sudah ada lebih 100 bas di seluruh daerah, bas berhawa dingin, ada wifi, sangat hebat.

“Malah, tuan-puan tidak akan jumpa bas sebegini di Pekan, Pahang. Jadi Perdana Menteri (PM) tetapi bas pun tak boleh nak baiki,” katanya.

Beliau berkata, istimewanya bas di Selangor apabila ada segelintir penumpang naik sehingga tidak mahu turun membuktikan betapa selesanya bas berkenaan.

“Tetapi, bas di Pekan ada yang tiada pintu dan ada juga tingkap pecah sedangkan bas kita serba lengkap, inilah Selangor yang peduli nasib rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak sehebat Selangor apabila negeri termaju itu berjaya melaksanakan Skim Peduli Sihat.

“Kita belanja RM80 juta demi mahukan rakyat mendapat servis rawatan kesihatan terbaik berbanding BN cuma sediakan klinik 1 Malaysia.

“Program Peduli Sihat anda boleh dapat rawatan terus daripada doktor tetapi klinik 1 Malaysia tiada doktor, ada jururawat dan panadol sahaja.

“Jika datang diberinya panadol tiga biji, 10 biji, 20 biji. Lama-lama bukan mati sebab penyakit tetapi mati sebab tercekik panadol,” selorohnya.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, inilah yang dikatakan perbezaan antara kerajaan yang ditadbir PAKATAN dan BN.

“Kerajaan ini yang sering dimaki, dihina, diserang setiap jam 8 malam tetapi kerajaan inilah yang peduli kesihatan rakyat dan memperkenalkan program Skim Peduli Sihat,” katanya.


Pengarang :