SELANGOR

JAIS edar 12,000 buku teks hafazan kepada pelajar Kemboja

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Sejumlah 12,000 naskah buku teks Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mata pelajaran Hafazan Al Quran diedarkan kepada pelajar Islam, di Kemboja.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, buku teks siri keenam yang diterjemahkan dalam bahasa Champa itu dihasilkan guru JAIS, sekali gus membuktikan kebolehan mereka sebagai pemacu pendidikan.

Beliau berkata, hasil yang dicipta bukan hanya dapat diguna dalam negara, malahan boleh dieksport ke luar negara.

“Pada 12 Mei lalu, buku teks ini dilancarkan di Dewan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja.

“Apa yang saya cuba sampaikan ialah buku teks berkenaan asalnya adalah hasil buah fikiran dan keringat guru JAIS untuk kegunaan murid, namun ia dapat juga dimanfaatkan murid Islam di luar negara,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIS, di Hotel De Palma, di sini.

Pada masa sama, Mohd Haris berkata, pendidikan Islam di Selangor adalah sistem pendidikan yang semakin berkembang dari masa ke masa.

Katanya, dengan berkembangnya sistem pendidikan itu, pelbagai cabaran perlu ditangani sebaiknya bagi memperkasakan sistem terbabit.

“Oleh itu, saya amat mengharapkan semua pegawai, pengetua, guru besar dan ketua guru dapat mengeratkan ukhuwah dan bersatu hati menjayakan aspirasi pendidikan JAIS yang digariskan melalui Falsafah Pendidikan JAIS.

“Saya percaya dengsn kesungguhan semua pihak dalam memberdaya sistem pendidikan ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat seimbang yang akan menjadi pelapis kepada kepimpinan masa kini,” katanya.

 


Pengarang :