SELANGOR

JAIS: Tujuh ditahan dalam Optimer

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan tujuh orang dalam Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan (Optimer) dalam serbuan yang dilakukan di pusat snuker Shah Alam dan warung makan di Klang, setakat ini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kassim berkata, kesemua yang ditahan adalah lelaki berusia antara 27 hingga 30 tahun dan akan disiasat serta didakwa mengikut Seksyen 19, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan.

“Di bawah Seksyen 19 mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan melakukan kesalahan menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum, dihisap dalam waktu itu serta secara terbuka.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Haris mengingatkan pengusaha restoran supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak menjual makanan dan minuman kepada individu yang cuba melanggari peraturan.

“Jika tidak, JAIS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, JAIS akan terus memantau perlakuan yang melanggari kesalahan tidak menghormati Ramadan berdasarkan aduan awam dan tindakan-tindakan pencegahan (operasi).


Pengarang :