NASIONAL

Jangan gopoh ambil tindakan terhadap GLC – Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran tidak terburu-buru mengambil tindakan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri masing-masing.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri besar dan ketua menteri perlu mengambil tindakan yang dirasakan perlu berdasarkan kepada tadbir urus baik demi faedah kepada rakyat.

“Jangan gopoh mengambil tindakan, jangan sebab dendam dan iri hati. Saya tiada masalah dengan GLC kalau prestasinya baik dan jika menteri besar rasa ia sesuai diteruskan, kita teruskan.

“Tetapi jika terbukti di peringkat Persekutuan berlaku pembaziran, pertindihan dan pembayaran elaun keterlaluan kepada pihak tertentu, ini harus dihentikan,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan barisan exco kerajaan negeri di Ipoh.

Dalam masa sama, Anwar menasihati barisan kepimpinan Kerajaan Perak supaya menjaga pentadbiran dan melaksanakan tadbir urus terbaik selain berintegriti supaya Perak bersih daripada salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah.

“Saya percaya dengan keupayaan menteri besar dan exco yang mantap mampu menumpukan kerja dengan cepat.

“Tugas saya sebagai rakan mereka adalah untuk mengingatkan keperluan agar memenuhi janji dan aspirasi rakyat kerana kemenangan kita ini adalah dipilih oleh rakyat,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang sedia untuk memberi pandangan bagi membantu kejayaan dan kemajuan Perak.


Pengarang :