NASIONAL

Jangan pandang remeh kenyataan Tun Daim

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PERAK, 4 MEI: Kenyataan Tun Daim Zainuddin yang mengaitkan kemampuan Pakatan Harapan (PAKATAN) menawan negeri pentadbiran Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak harus dipandang remeh.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan berkenaan bersifat realiti dengan berpandukan penyelidikan dan kajian tepat.

“Tun Daim ini dikenali sebagai ‘strategic planning’. Biasanya, kalau beliau menzahirkan sesuatu perkara, ia berlandaskan penyelidikan dan kajian.

“Jadi jangan ambil ringan pandangan Tun Daim kerana jika dia bersuara terhadap sesuatu isu, beliau ada pertimbangan dengan merujuk faktor semasa kini,” katanya kepada pemberita di Bagan Serai, Perak, petang tadi.

Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, melaporkan Daim menjangkakan peluang BN untuk mengekalkan kemenangan di Johor dan Sabah adalah “50-50”.

Laporan MalaysiaKini mendedahkan, sejak akhir 2007, “jangkaan ” Daim itu sering menjadi kenyataan.

Antaranya ramalan beliau bahawa BN akan kalah di Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, pada PRU12 lalu.

Jangkaan bekas Menteri Kewangan itu menyaksikan gabungan pembangkang berjaya menawan negeri berkenaan.

Bagi PRU13 pula, beliau menjangkakan BN akan menawan semula Kedah jika mempunyai pemimpin sesuai.

Hasilnya, BN Kedah akhirnya menang dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipilih menerajui kepimpinan Kedah sebelum berlakunya peralihan kuasa, di negeri itu.


Pengarang :