– Foto AFP
NASIONAL

Jokowi: Tahniah Tun Mahathir, moga hubungan Malaysia-Indonesia bertambah baik

SHAH ALAM, 11 MEI: Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Ucapan itu disampaikan presiden yang mesra dengan panggilan Jokowi menerusi panggilan telefon dari Istana Presiden di Bogor.

“Saya mengucapkan selamat atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelmarin,” katanya melalui kenyataan dari Istana Presiden di Bogor.

Jokowi turut mengucapkan syukur ekoran proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Malaysia berjalan lancar, pada 9 Mei lalu.

“Saya senang mendengar proses demokrasi berjalan lancar dan aman,” katanya.

Jokowi turut meyakini hubungan kedua-dua negara akan bertambah baik.

“Sebagai negara serumpun saya percaya di bawah kepemimpinan Bapak Mahathir, hubungan antara kedua bangsa kita akan terus meningkat.

“Dan saya mendoakan Bapak Mahathir terus diberikan kesihatan untuk menjalankan amanah rakyat Malaysia ini,” katanya dipetik portal Malaysia Kini.

Mahathir secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, semalam.

Sejarah baru tercipta, apabila Tun Mahathir menggalas jawatan sama buat kali kedua setelah pertama kalinya selama 22 tahun iaitu pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara, selepas 61 tahun parti itu mentadbir.

PAKATAN menang majoriti mudah 113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Antara negeri ditawan PAKATAN adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah selain berjaya mengekalkan kemenangan, di Selangor juga Pulau Pinang.


Pengarang :