SELANGOR

Juwairiya siap sedia bantu selesai masalah rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 14 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bersiap sedia turun padang bagi menyelesaikan permasalahan rakyat, di kawasan itu.

ADNnya, Juwairiya Zulkifli berkata, walaupun masih muda beliau tetap mempunyai hasrat membantu rakyat supaya dapat hidup dalam keadaan selesa.

“Selepas menang di DUN Bukit Melawati, saya sedar ini tanggungjawab yang perlu digalas sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kuala Selangor dan memberi keselesaan, kesenangan serta keselamatan kepada mereka.

“Perkara pertama yang akan saya buat adalah turun padang bertemu ketua masyarakat seperti ketua kampung dan pemimpin setempat di semua 14 daerah mengundi di bawah DUN Bukit Melawati untuk saya mengenal pasti masalah dihadapi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat DUN Bukit Melawati, di Padang Awam Bandar Baru, malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan ADN Jeram, Mohd Shaid Rosli.


Pengarang :