NASIONAL

Kaji semula projek mega tinggalan Najib, permudah pinjaman perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 19 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berharap perbincangan dapat diadakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelesaikan beberapa isu melibatkan kepentingan rakyat.

Mohamed Azmin berkata, antaranya melibatkan pinjaman perumahan di mana ketika ini kadar pinjaman tidak diluluskan institusi perbankan meningkat kepada 60 peratus.

“Saya juga berbincang dengan Perdana Menteri keperluan berbincang semula dengan BNM dan MOF bagaimana yang terbaik kita dapat memberikan pinjaman perumahan untuk kelulusan mereka kerana pada masa ini ini kadar tidak lulus meningkat kepada 60 peratus.

“Kita boleh buat lebih banyak rumah tetapi kita kena fikirkan bagaimana untuk pembeli dapatkan pinjaman,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Selangor sendiri mempunyai pengalaman kejayaan dalam isu perumahan yang boleh dikongsikan dengan Kerajaan Persekutuan.

Kata Mohamed Azmin lagi, beliau juga akan mengadakan perbincangan untuk mengkaji semula projek mega dan projek infrastruktur yang diluluskan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

“Keutamaan kami semua projek mestilah memberi manfaat kepada rakyat seperti projek bekalan elektrik, pembekalan air, perumahan awam dan lain-lain,” katanya.

=EZY=


Pengarang :