NASIONAL

Kakitangan SPAD diserap masuk ke JPJ

OEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan diserap masuk ke agensi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kakitangan tetap di SPAD akan diserap masuk ke JPJ ekoran terdapat 1,000 kekosongan jawatan, di agensi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bagi mereka yang berjawatan kontrak, hal itu akan dikaji semula dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tiada siapa akan dipecat memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah kerajaan prihatin.

“Manakala, peranan SPAD pula akan diambil alih Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui JPJ,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Anthony berkata, terdapat kira-kira 800 kakitangan tetap di SPAD bakal diserap masuk ke JPJ.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan, semua akan diserap, namun jika ada pertindihan jawatan kita akan kaji semula hal berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan SPAD akan dimansuhkan kerana ia tidak memberi manfaat kepada negara, sebaliknya hanya meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kita dapati peranannya bertindih dan ini adalah pembaziran merugikan negara,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jemaah Kabinet di Jabatan Perdana Menteri, semalam.


Pengarang :