SELANGOR

KDEBWM: Aduan turun 95%, 7 lagi PBT diambil alih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: Aduan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan awam di empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diambil oleh KDEB Waste Management (KDBEWM) mencatatkan penurunan 95 peratus.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Tahir berkata, penurunan aduan secara drastik itu membuktikan keberkesanaan perkhidmata ditawarkan pihaknya.

Katanya, secara purata sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu atau dua aduan sahaja di setiap PBT.

“Ini membuktikan KDEBWM melaksanakan tanggungjawab dengan efektif dan efisyen dalam memastikan Selangor mencapai sebuah negeri yang terbersih.

“Setiap kawasan, kita meletakkan pemantauan rapi dari sudut kakitangan, lori, penjejak dan command centre di pejabat saya bagi membolehkan semua aduan diterima melalui fax, iclean, telefon, whatsapp dan sebagainya untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Pada masa sama, Ramli berkata KDEBWM akan mengambil alih tujuh PBT lain sehingga hujung tahun ini.

Katanya, ia membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ia termasuk Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui pegangan saham di dalam Pemerbadanan Menteri Besar.

Syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor secara berperingkat.


Pengarang :