SELANGOR

KDEBWM santuni kakitangan dan pengamal media

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyantuni kakitangan dan pengamal media dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensional Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, majlis berbuka puasa itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kakitangan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab untuk merealisasikan amanah diberikan.

“Memandangkan ramai antara kakitangan kita kerja siang dan malam demi membersihkan negeri ini, jadi saya mengadakan jamuan berbuka puasa untuk mereka berkumpul bersama keluarga selain meraikan penat lelah mereka.

“Selain itu, tidak dilupakan kita turut meraikan kakitangan dari Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) iaitu SelangorKini dan TV Selangor yang banyak membuat liputan media berhubung operasi, aktiviti dan program KDEBWM,” katanya.

Ramli berkata, ia juga bagi memberi peluang kepada kakitangan KDEBWM dan anak syarikat beramah mesra dengan kakitangan CCSB sambil menikmati juadah berbuka puasa bersama.

Beliau berkata, majlis berbuka puasa itu merupakan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR) kepada warga kerja dan keluarga disamping dapat merapatkan ukhuwah dan silaturrahim.

“Majlis ini dilihat dapat memberi peluang kakitangan merehatkan minda selepas saban hari menjalankan tugas hakiki mereka,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, seramai 560 tetamu hadir termasuk kehadiran Ahli Lembaga Pengarah KDEBWM dan anak syarikat serta pengurusan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Antara pengisian majlis, turut diadakan tazkirah Ramadan, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

=EZY=


Pengarang :