NASIONAL

KDN tumpu usaha jadikan Malaysia negara paling selamat di dunia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kerajaan Malaysia meneliti pendekatan dasar terbaik yang diamalkan negara luar bagi memastikan pengurusan keselamatan awam negara terjamin.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keperluan itu selaras menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara paling selamat diduduki.

“Kita perlu memikirkan pendekatan baru dengan mencadangkan supaya kementerian merujuk pendekatan dasar dan contoh-contoh negara yang telah mencapai tahap terbaik daripada aspek pengurusan keselamatan awam.

“Contohnya Singapura, Hong Kong dan Jepun. Walaupun negara-negara ini mempunyai faktor geografi yang berbeza dengan Malaysia, tapi pendekatan yang mereka gunakan itu boleh dijadikan contoh.

“Pastinya ada penggunaan teknologi dan sumber manusia serta cara-cara mereka uruskan yang mana jika ia bersesuaian, perkara itu boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Ini bagi menjadikan Malaysia sebagai negara paling selamat di dunia,” katanya pada sidang media di Kementerian berkenaan, pagi ini.

Sementara itu Muhyiddin berkata, tumpuan perancangan keselamatan dalam negara turut diperluas ke kawasan perairan Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia termasuklah kawalan berterusan operasi ESSCOM dan ESSZONE bagi memastikan kedaulatan pintu masuk perairan negara, tidak bolos.

“Mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan, pemerdagangan orang menjadi antara gerak kerja KDN.

“Justeri, kita akan tingkatkan kawalan keselamatan darat dan laut supaya masalah ini dapat diselesaikan untuk tempoh pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :