SELANGOR

KEADILAN tidak boikot, tunggu perkenan YDPA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 14 MEI: Senarai tiga nama menteri kabinet Kerajaan Persekutuan hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses perbincangan masih berjalan, termasuk lantikan kabinet menteri dari semasa ke semasa.

“KEADILAN menyokong penuh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti kenyataan dikeluarkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Proses perbincangan perlu dilihat secara keseluruhan bagi memastikan aspirasi rakyat yang membuat perubahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) direaslisasikan dan tidak mahu kepercayaan rakyat dikhianati,” katanya.

Terdahulu, Tun Mahathir menamakan tiga menteri kabinet iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pengumuman itu menyaksikan tiada pimpinan tertinggi KEADILAN, hadir pada sidang media berkenaan, sekali gus mencetuskan spekulasi kononnya parti itu memboikot keputusan Tun Mahathir.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) mempunyai pandangan setiap gabungannya dan keputusan itu mengambil kira pandangan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bukan soal boikot keputusan Tun Mahathir, cuma sebagai Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar berhak memberikan pandangan.

“Melalui pertemuan di hospital, banyak perkara dibincang mencapai sepakat dan perbincangan diteruskan serta diadakan secara inklusif.

“Dalam masa terdekat akan keluar senarai penuh barisan menteri kabinet. Tiga menteri yang namanya dicadangkan akan diangkat kepada YDPA untuk proses seterusnya dan dimuktamadkan dalam majlis angkat sumpah,” katanya.


Pengarang :