SELANGOR

Kejayaan perkasa Islam jadi landasan ke Putrajaya

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 4 MEI: Kejayaan Kerajaan Negeri memperkasa dan mengangkat martabat umat Islam, di Selangor menjadi pemangkin kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi melaksanakannya, di Putrajaya apabila mengambil alih pentadbiran negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN nyata menghasilkan kejayaan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memainkan peranan bagi tujuan berkenaan.

“JAIS memainkan peranan penting menjayakan pembangunan masjid, surau dan institusi Islam dengan kita mahu semuanya diimarahkan menerusi pelbagai program yang dapat melahirkan umat berakhlak mulia.

“Model dan peranan JAIS menjadi ikutan negeri lain bagaimana Kerajaan Negeri serta jabatan agama bekerjasama mengangkat martabat umat Islam.

“Dengan keyakinan dan kejayaan ini, kita berharap dapat melihat sebuah negara lebih berwibawa pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan Kerajaan Negeri juga menimbulkan kesedaran kepada rakyat khususnya masyarakat Melayu dan Islam yang banyak memberikan sokongan.

“Kesedaran orang Melayu dan umat Islam kini tinggi kerana kita berjaya mengangkat martabat bangsa juga agama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Turut hadir, calon PAKATAN bagi DUN Gombak Setia, Hilman Idham.


Pengarang :