SELANGOR

Kekurangan fasiliti warga emas, SPR patut teliti

OLEH SHEEDA FATHIL

TELOK GONG, 9 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) culas dalam menyediakan fasiliti di Daerah Mengundi.

Hal ini diakui sendiri oleh warga emas, Kalsom Jaafar, 68, yang terpaksa berjalan sejauh kira-kira 500 meter untuk ke saluran mengundi.

“Masuk kali ini sudah empat kali saya mengundi tetapi sebelum ini fasiliti yang disediakan SPR lebih baik berbanding sekarang.

“Saya terpaksa berjalan jauh dari kereta bersama cucu sehingga sampai ke saluran mereka baru memberi kerusi roda,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala, Mohd Noh Kalimi, 87, berkata, air juga tidak disediakan oleh SPR untuk pengundi yang beratur panjang.

“Saya kesal sepatutnya SPR prihatin dengan masalah ini dan tidak sepatutnya membiarkan kami terutama warga emas atau pengundi lain sekali pun berpanas tanpa dihulurkan sekurang-kurangnya sebotol air,” katanya yang mengundi di Sekolah Agama Rakyat Al Mumtaz Masjid Telok Gong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ejen Tempat Mengundi, Robidin Iba, 58, berkata, banyak perkara tidak dijangka berlaku seperti kekurangan kerusi roda yang disediakan SPR menyebabkan ramai warga emas terpaksa berjalan jauh ke saluran mengundi.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku, selain kerusi roda, kerusi disediakan di saluran mengundi warga emas turut kurang menyebabkan ramai antara mereka terpaksa berdiri dan tidak kurang juga ada yang terpaksa duduk di tepi kaki lima.

“Hal ini perlu dipandang serius memandangkan kita sepatutnya berasa bangga apabila masih ada warga emas yang kurang sihat tetapi masih tegar untuk menjalankan tanggungjawab pada negara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :