BERITA UTAMASELANGOR

Kemampuan Azmin urus ekonomi negara diyakini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 MEI: Pelbagai pihak tampil menyatakan penghargaan tahniah kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali atas perlantikan Dato’ Menteri Besar itu sebagai Menteri Kabinet, Putrajaya.

Terbaru, bekas Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman berkata kepimpinan terbaik Mohamed Azmin di Selangor membuktikan kelayakannya untuk meneraju Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.

“Perlantikan beliau sudah pastinya satu penghormatan juga kepada rakyat negeri Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KNK) negara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentulah menilai ketokohan dan kecemerlangan Mohamed Azmin dalam mentadbir urus negeri Selangor khususnya dalam aspek kewangan dan ekonomi sejak September 2014 dengan menjunjung prinsip kebertanggungan, ketelusan, amanah dan berintegriti.

“Junjungan prinsip inilah yang melindungi beliau dari kebejatan dasar dan kleptokrasi,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya lagi, kepimpinan dan pengalaman Mohamed Azmin di Selangor diharap dapat memacu pembangunan ekonomi negara menjadi lebih terurus dan cemerlang.

Mohamed Azmin dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi secara rasmi memulakan tugas pada 22 Mei lalu.


Pengarang :