SELANGOR

Kepedulian Mohamed Azmin dihargai rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MEI: Perlantikan semula Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali adalah petanda rakyat Selangor menghargai sumbangan dan jasanya di negeri itu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, Mohamed Azmin berjaya melaksanakan pelbagai jenis program yang membawa faedah dan manfaat khusus pada rakyat Selangor walaupun baru dilantik untuk tempoh tidak sampai empat tahun.

“Oleh demikian memang wajar beliau diberi peluang sekali lagi untuk menerajui negeri bagi memastikan Selangor terus maju dan kebajikan rakyatnya terus terpelihara,” katanya.

Katanya, lebih membanggakan rakyat Selangor, Mohamed Azmin juga boleh memainkan peranan di peringkat persekutuan sebagai Ahli Parlimen tanpa hilang fokus menjaga kebajikan rakyat.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor selepas diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis istiadat angkat sumpah dan pelantikan ke jawatan itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, semalam.

Pelantikan itu adalah kali kedua buat Mohamed Azmin sebagai Dato’ Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya kekal di Selangor dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti dua pertiga.

Kali pertama beliau dilantik bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada 2014.


Pengarang :