NASIONAL

Kerajaan pertimbang bantuan Aidilfitri buat penjawat awam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Kementerian Kewangan akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung insentif Aidifitri buat penjawat awam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam bergaji rendah untuk menyediakan persiapan sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Untuk Aidilfitri ini, ada yang bertanya mengenai bantuan, walaupun begitu saya amat berharap supaya rakyat di negara ini terutamanya penjawat awam bertimbang rasa kerana keadaan ekonomi negara yang kurang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian selepas memegang jawatan berkenaan.

Guan Eng berkata, bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah insentif itu akan diumumkan Perdana Menteri.

“Kita cuba menonjolkan imej kepimpinan melalui teladan, kita tidak memotong gaji penjawat awam, sebaliknya gaji menteri Kabinet dipotong 10 peratus, ini dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pertama Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Dan mesej yang hendak kita sampaikan ialah ekonomi Malaysia berdepan dengan masalah kerana ketirisan dan penyelewengan wang yang terjadi sebelum ini,” katanya.


Pengarang :