SELANGOR

Kesal Kad PTRS terpaksa diagih di luar pagar sekolah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 1 MEI: Tindakan Kerajaan Persekutuan menyekat proses pengagihan Kad Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah menengah jelas merugikan rakyat.

Calon Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata, tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu memberi petanda yang mereka menyedari bahawa mereka semakin hilang sokongan rakyat.

“Kalau mereka kerajaan yang baik untuk rakyat kenapa mereka harus sekat dan ini menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan diri.

“Tindakan politk mereka ini akhirnya menjadikan anak-anak kita sebagai mangsa tidak dapat menikmati peluang disediakan kerajaan,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sungai Buloh di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Jelasnya, BN sepatutnya ketepikan sentimen politik apabila membabitkan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan pemimpin BN yang menggunakan sekolah untuk menyampaikan agenda politik mereka.

Terdahulu, pihak bertanggungjawab mengedarkan Kad PTRS terpaksa menunggu pelajar sehingga tamat masa persekolah di tepi pagar sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya bagi mengagihkan kad terbabit.

Kad yang mempunyai nombor pin pengaktifan itu boleh diakses pelajar tingkatan empat dan lima bagi membolehkan mereka mengikuti tuisyen secara atas talian.

=EZY=


Pengarang :