Selangorkini
SELANGOR

Ketua Umno sertai KEADILAN, kepimpinan BN semakin teruk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI : Ketua Cawangan Umno Sri Sarawak, Zakaria Samsudin mengumumkan keluar parti dan KEADILAN sekali gus membuktikan kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin kurang mendapat sokongan.

Zakaria mengakui antara faktor beliau meninggalkan BN kerana parti itu gagal membela nasib rakyat kesan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya tekad meninggalkan BN kerana terkilan dan kecewa dengan kepimpinan parti itu yang semakin lari daripada asas perjuangan membela dan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya sebagai peniaga kecil-kecilan di Klang juga terasa beban ekonomi sehingga menyebabkan harga barangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata pada Sidang Media Khas di bilik Gerakan Utama Harapan Dun Sungai Kandis, di sini, sebentar tadi.

Zakaria berkata, kepimpinan BN yang ada kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kepimpinan terdahulu yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

Pada masa sama, beliau mengakui penyertaannya ke dalam KEADILAN Dun Sungai Kandis itu turut memberi signifikan dan tamparan hebat kepada Umno cawangan berkenaan.

“Saya tekad tinggalkan Umno untuk reformasi dan merasai denyut nadi rakyat bagi perubahan ekonomi daripada kepimpinan kerajaan BN kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya melihat manifesto BN hanya retorik di atas kertas, sebaliknya pentadbiran kerajaan PAKATAN di Selangor lebih telus dan bijak untuk masa depan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Calon N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei berkata, walaupun keputusan Zakaria sebagai ketua hanya di peringkat cawangan, namun beliau yakin BN akan tetap terkesan dengan tindakannya itu.

“Saya selaku wakil KEADILAN mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu turut serta dan berjuang bersama-sama KEADILAN,” katanya.


Pengarang :