SELANGOR

Khairuddin berang SPR letak 750 nama satu saluran, perlu 25 jam selesai

OLEH NAZLI IBRAHIM
SUNGAI BULOH, 9 MEI: Calon kerusi DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berang dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meletakkan sehingga 750 pengundi dalam satu saluran di Pusat Daerah Mengundi Merbau Sempak.
Mohd Khairuddin berkata, SPR memerlukan masa selama 25 jam untuk menghabiskan proses pengundian sekiranya semua pengundi saluran terbabit keluar mengundi.
“Ada dua saluran yang begitu tinggi pengundi hingga cecah 750 orang di mana kalau setiap pengundi  ambil masa dua minit, perlukan 25 jam untuk habis.
“SPR perlu bertanggungjawab, pengundi semakin marah dan saya tak tahu apa provokasi akan dilakukan pengundi sekiranya hak mereka dinafikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada SelangorKini di Daerah Mengundi Kampung Merbau Sempak di Pusat Mengundi Masjid Kampung Merbau Sempak di sini, hari ini.
Jelasnya SPR perlu menambah masa mengundi bagi memberi peluang kepada orang ramai mengundi.
Tinjauan SelangorKini di pusat pengundian terbabit pada jam 4.05 petang didapati orang ramai masih berbaris panjang, khususnya pengundi saluran dua dan tiga.

Pengarang :