SELANGOR

Khairuddin mahu Pasar Siti Khadijah Paya Jaras jadi kenyataan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman akan meneruskan usahanya mendapatkan kelulusan pasar bertingkat berkonsepkan sama seperti Pasar Siti Khadijah, Kelantan di kawasannya bagi kemudahan orang ramai.

Mohd Khairuddin berkata, beliau juga akan memastikan lot-lot kedai di pasar bertingkat serba lengkap itu hanya akan diberikan kepada penduduk Paya Jaras sahaja.

“Pasar bertingkat yang kita nak buat ini konsepnya sebiji macam Pasar Rabu atau Siti Khadijah, orang boleh berniaga tiap hari, bukan tiga hari seminggu, ada pakir di atas, ada pasar kering, ada pasar basah dan ada tempat makan.

“Saya berjanji ini semua diberi peluang hanya orang di Paya Jaras untuk memenuhi ruangan yang ada di tempat itu,” katanya pada ceramah kelompok di Kampung Kubu Gajah di sini.

Jelasnya, beliau akan terus memberikan tekanan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBS) selagi pasar yang dimahukan itu tidak dibina.

Katanya, sehingga sampai ke satu tahap, MBSA menyampaikan pesanan kepada beliau supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada MBSA dalam isu itu.

“Saya pula nak pesan kepada MBSA, kalau tak mahu saya tekan, siapkan cepat pasar bertingkat, saya akan diam tetapi selagi tak siap saya akan gasak habis-habisan kerana saya mahu rakyat bangga kita ada stadium moden, pasar bertingkat dan lain-lain,” katanya lagi.

Mohd Khairuddin menambah, sebelum ini beliau juga berjaya menghidupkan kembali medan selera yang sebelumnya menjadi projek gajah putih di era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

=EZY=


Pengarang :