SELANGOR

Khairuddin pegang teguh mandat rakyat jika menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Penyandang kerusi DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berikrar akan mempertahankan mandat diberikan rakyat jika sekali lagi diberi kepercayaan, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, selain memegang prinsip tidak mengkhianati mandat rakyat, beliau juga mempunyai keyakinan besar terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Inilah sebabnya saya memilih untuk bersabar dan hanya mengumumkan menyertai KEADILAN apabila Parlimen dan Dewan Negeri Selangor dibubarkan kerana pertahankan prinsip ini.

“Jika saya menang, saya akan kekal dalam KEADILAN dan tidak akan khianat kepada mandat rakyat serta parti,” katanya pada Program Bicara 10 Janji 100 Hari di Taman Saujana di sini, malam tadi.

Khairuddin berkata, antara faktor utama keyakinan beliau ekoran Kerajaan Negeri pimpinan Mohamed Azmin mempunyai keupayaan tinggi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, KEADILAN turut mempunyai hala tuju jelas dalam misi menawan Putrajaya.

“Kalau nak jadi pembangkang jadi pembangkang betul-betul, kalau nak jadi kerajaan, sokong kerajaan betul-betul bukannya goyang tanpa haluan jelas,” katanya.


Pengarang :