SELANGOR

Khairuddin perhebat kempen gempur kubu BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Tidak mahu terlalu selesa, calon DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menggandakan kempen bagi mempertahankan kerusi dimenanginya, pada 2013 lalu.

Katanya, pada masa ini beliau dan jentera kempennya mempergiatkan kerja menggempur sisa-sisa kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan Paya Jaras.

“Saya dan jentera sedang melipat gandakan menggempur kawasan kubu kuat Umno dengan sambutannya sangat baik dan malam tadi saya juga turun ke Saujana Utama yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

“Walaupun saya yakin kita boleh menang tetapi kita tidak mengambil mudah atau terlalu selesa sebab itulah kami menggandakan kempen,” katanya ketika ditemui SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga turun di beberapa kubu BN yang tidak dapat ditembusi, pada pilihan raya umum lalu seperti Kampung Paya Jaras Hulu dan Kampung Kubu Gajah.

Khairuddin berkata, jadual kempennya pada hari ke-10 juga semakin padat dengan pelbagai program seperti bertemu pengundi dan ceramah.

“Semasa kempen PRU lalu, kami tak dapat masuk ke beberapa kawasan kerana sentimen Umno yang kuat tetapi hari ini kami diberikan sambutan hebat di semua kawasan ini,” katanya.


Pengarang :