SELANGOR

Khairuddin sarapan bersama pesakit kusta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman memperhebatkan kempen hari ke lapan bagi mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2013.

Aktiviti kempen beliau hari ini dimulakan dengan program bersarapan pagi bersama pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Sungai Buloh.

Dalam program itu, Mohd Khairuddin menyantuni hampir 100 pesakit kusta dan bekas pesakit kusta yang terdapat di situ.

Selain itu, Mohd Khairuddin juga dijadualkan memenuhi 13 lagi program sepanjang hari ini.

Antaranya, pertandingan futsal di padang Masjid Saujana Utama, Bazar Peduli Rakyat di Padang Surau Kasaniah, Paya Jaras Dalam, menziarahi mangsa ribut di Paya Jaras Hilir, menghadiri Kejohanan Liga ADN Paya Jaras, Perlawanan Persahabatan Sepak Takraw, Program Santai Bersama Belia India di Dewan Meranti, Ceramah Umum di Bilik Gerakan Sungai Pelong dan Kampung Melayu Subang serta pelbagai program lain.

Mohd Khairuddin turut meneruskan tradisinya sejak 2010 dengan memenuhi tidak kurang lima undangan ke majlis perkahwinan dan kenduri sempena menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Terdahulu, kehadiran Mohd Khairuddin di program-program kempennya mendapat sambutan penduduk setempat ekoran sikap beliau yang mesra rakyat.

Selain mudah didekati, Mohd Khairuddin juga terkenal dengan sikap mengambil berat terhadap masalah dihadapi penduduk di situ.


Pengarang :