KPDNHEP boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga barang jika berlaku kenaikan melampau. Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

KPDNKK arah peniaga patuh sifar GST

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga supaya mematuhi dasar kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pertemuan bersama Persatuan Peniaga sudah dibuat bagi memberi penjelasan menyeluruh terhadap pelaksanaan dasar baru itu.

“Pertemuan dan perbincangan bersama persatuan perniaga diadakan pada 25 Mei lalu, dan beberapa perkara dibangkitkan sudah diperjelaskan.

“Kita berharap pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan ditetapkan ini dapat dipatuhi,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat KPDNKK, pagi ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menetapkan kadar sifar GST dilaksanakan berkuatkuasa 1 Jun depan.

Kerajaan Persekutuan memaklumkan, pemansuhan dibuat terhadap barangan yang dikenakan di bawah cukai berkenaan.

Namun, pengecualian dikenakan terhadap barang dan perkhidmatan disenaraikan di bawah Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014.

Pelaksanaan kadar sifat baru itu tertakluk di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, Mohd Roslan memaklumkan, KPDNKK mengarahkan anggotanya turun padang mendapatkan gambaran sebenar harga pasaran terkini.

“Kita sudah mengarahkan pegawai membuat pemantauan di lapangan. Setiap seorang pegawai akan mendapatkan maklumat di sebuah premis dengan mendapatkan 30 jenis barangan sebelum GST diturunkan pada kadar sifar.

“Selepas kadar sifar berkuatkuasa, kita akan melihat perbandingan kedua-dua harga berkenaan untuk pastikan harga telah diturunkan,” katanya.


Pengarang :