BERITA UTAMANASIONAL

KPDNKK jamin harga barang terkawal menjelang Aidilfitri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan harga barangan dan keperluan di pasaran terkawal, pada musim perayaan ini.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, walaupun berlaku ketidaktentuan harga pasaran kini, namun pihaknya akan menjalankan pemantauan menyeluruh memastikan harga barangan tidak melebihi paras ditetapkan.

Katanya, KPDNKK menjalankan pemantauan harian terhadap 113 barangan mengikut kategori hasil laut, daging, barangan kering dan sayur-sayuran.

“Kami mendapati 86 item kekal pada harga ditetapkan, namun 13 barangan dikesan mengalami kenaikan harga dengan julat antara 2.78 hingga 50 peratus, manakala 14 item mengalami penurunan dengan julat harga 0.19 sehingga 62.58 peratus.

“Kenaikan harga bagi beberapa barangan berlaku kerana permintaan tinggi pada awal Ramadan lalu, namun didapati terdapat beberapa penurunan ketika ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNKK, pagi ini.

Pada masa sama, katanya, KPDNKK akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh perayaan ini.

“KPDNKK akan bekerjasama dengan Kementerian itu dan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

“KPDNKK juga sudah dimaklumkan mereka akan mengadakan jualan terus dari ladang sebagai jaminan harga rendah,” katanya.


Pengarang :