NASIONAL

KPDNKK pantau harga baju raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut memantau harga baju raya di pasaran sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika terdapat aduan daripada pengguna membabitkan kenaikan harga barangan itu.

“Walaupun ia di luar konteks barangan keperluan pasaran tetapi jika terdapat aduan daripada pengguna, KPDNKK akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

“Justeru, jika benar berlaku peningkatan harga barangan jenis ini, aduan boleh dibuat untuk kami jalankan siasatan di bawah Seksyen 21,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNKK, pagi ini.

Sebelum ini dilaporkan berlaku peningkatan harga jualan baju raya, meliputi penjualan dalam talian dan secara terus di pasaran.

Rungutan kenaikan harga itu dinyatakan pengguna menerusi media sosial Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK menerusi talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 03-8000 8000.

“Pengguna juga boleh menghubungi talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik di talian 03-88826088/6245,” katanya.

Aduan juga boleh dibuat menerusi e-mel ke alamat [email protected] atau menerusi Sistem Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) dengan menaip KPDNKK ADUAN <butiran aduan>.

 


Pengarang :